Tuesday, 6 August 2013

NASIK GORENG THAI MALAY SRI WANGI

Kalo bab-bab berbuka puasa kat luar ni aku memang jarang rare tahap tapir r, cuma ada sekali aje hari tu berbuka kat satu restoran ni ngan seorang kawan lama. Kawan se-bundle lah kira-kiranya, yang dah lama tak jumpa, al-maklumlah dia kerja kat luar Ganu ni. Alang-alang dah terjumpa tu, dia ajak aku berbuka sekali, nak belanja katanya, nak tunjuk banyak duit la tu. Kalo diikutkan musim kemalasan aku time tu, memang malas sangatlah nak pergi, tak underground lah sosial-sosial ni. Tapi di sebabkan aku nak ejas baju band barang selai dua, aku ikut aje. Lagipun dia nak belanja, rezeki jangan di tolak.

Kitaorang berdua bercadang nak berbuka puasa kat satu restoran orang siam yang ada buat promosi ramadhan ni. Restorannya dekat dengan satu bazar ramadhan kat area kampung aku ni. Aku terjumpa dengan kawan lama aku ni pun selepas aku beli karipap kat bazar ramadhan tu.

Kitaorang bercadang untuk makan masakan panas goreng-goreng gitu. Kawan aku order nasik goreng USA ngan air mempelam, tapi masa tukang ambik order sebut nama air tu ngan lidah kampung dia, aku ingatkan dia dah mencarut. Nasib baik aku ni seorang punk yang penyabar, kalo tak aku dah bagi buah stail Chuck Norris sebijik. Apa kes pulak bulan puasa pun nak mencarut! Tunggulah bulan tak puasa, masa tu ko nak mencarut duapuluhempatjam pun lantak engkau lah.

Lepas kawan aku order, aku pun tak nak kalah dengan kawan aku punya order. Aku cari yang namanya nampak spesel sikit, lalu aku order, nasik goreng Thai-Malay Sri wangi dan air milo panas. Sambil-sambil tu aku mintak piring kosong nak letak karipap yang aku baru beli tadi. Karipap yang di letak di dalam piring berdasarkan kod etika pemakanan membawa maksud yang karipap itu untuk di kongsi makan. Lagi pun, tak hopeless romantik lah makan karipap terus dari plastik, Pakcik Morrisey pun tak pernah makan karipap terus dari plastik gitu.

Sambil-sambil menunggu apa yang di order sampai, kitaorang isi masa terluang dengan bersembang hal-hal permasalahan negara, seperti isu kepupusan spesis ikan sekilau, dan pasal Mat Min anak Pok Nawi yang belum bersunat sampai sekarang, walaupun dah nak masuk 20 tahun umurnya. Kadang-kadang kalo ada benda yang kelakar terkeluar dalam perbualan kami tu, kami ketawa tanpa mengira orang sekeliling, seolah-olah restoran tu bapak kawan aku yang punya. Tapi kebanyakkan masa tu, benda yang tak kelakar pun kami ketawa sampai rasa nak terkencing!

Lagi seminit-dua nak masuk waktu berbuka puasa, makanan yang di order pun sampai ke meja kami. Aku rasa time tu kat Bukit Pak Apil, tukang pasang meriam dah siap pegang lighter nak cucuh meriam tanda waktu berbuka tu. Aku tengok nasik goreng aku ngan nasik goreng kawan aku tu tak jauh sangat bezanya, cuma nasik goreng kawan aku ada tambah telur mata dan daging masak merah kat tepi, nasik pulak kaler kemerahan gitu. Nasik goreng aku kaler kuning, kosong takde tambahan apa-apa cuma nampak ada hiasan bunga kantam aje.

Ngan-ngan aku pegang sudu-garpu dan kacau nasik goreng tu sekali dua, kedengaranlah azan maghrib kat radio kedai tu. Lepas minum air milo, terus aku beralih ke nasik goreng aku.
Sesudu, dua sudu...
Aku berhenti makan, rasanya macam nasik yang di goreng dengan kunyit hidup-hidup. Aku kutip ayam-ayam dalam nasik tu aje, nasiknya aku tak boleh pergi.
Pastu aku makan karipap, sampai licin! Nak berkongsi konon!
Nasib baik ada karipap. Nasib baik juga kawan aku yang berlanja, kalo tidak aku dah protes dengan buat gwiyomi dah!

Nasik goreng Thai-Malay Sri wangi konon, tulis r nasik goreng kunyit!

No comments:

Post a Comment