Saturday, 29 September 2012

CERITA MALAM SABTU

Cerita ni berlaku kurang-lebih setahun lepas. Ianya adalah berdasarkan pada satu kisah benar tapi telah ditambah-tokokkan dengan sedikit serbuk perisa nak sedapkan cerita, walaupun hasilnya mungkin tak sedap mana pun. Pada satu malam tu, sedang gua tengah syok layan movie Planet Of The Apes kat tv, bini gua rapping mengalahkan Eminem pasal ubat nyamuk dan ubat gigi dah habis. Secara otomatiknya, suruh gua pegi beli. Bab ubat nyamuk tu, gua takde hal sangat kalo tak pegi beli malam tu jugak pun, gua boleh aje pasang kipas angin kuat-kuat, konfirm nyamuk terpelanting jauh punya. Bab ubat gigi tu yang kritikal sket, rasanya dah dua hari habis kot. Pagi tadi pun gua gosok gigi guna ubat gigi anak gua punya. Ubat gigi kodomo lion perasa oren, rasanya tobat tak sedap, tak heranlah anak gua liat sangat nak gosok gigi. Bukannya takde duit sangat sampai nak beli ubat gigi pun tak mampu, tapi sebagai seorang suami merangkap ayah yang punkrocker, memang gua busy, kat Sweden diaorang panggil sibuk. Kadang-kadang tu gua sengaja buat konon-konon busy, mungkin pengaruh cerita-cerita melayu kat tv. Dan kesibukan itu kadangkala membuatkan gua terlupa akan perkara yang runcit sebegini.


Nak tak nak, gua terpaksa jugak pegi kedai malam tu untuk beli dua jenis 'ubat' tu. Sayang jugak nak tinggalkan sekejap movie kat tv tu. Gua tunggu time iklan, biasanya iklan dia lama, so sempatlah gua pegi cepat-cepat, balik cepat-cepat dan sambung balik tengok movie tu nanti. Time iklan! Gua bingkas bangun, turun mendapatkan motor gua kat bawah cepat-cepat. Gua start motor, sekali start aje dah hidup, tanpa memanaskan enjin terlebih dahulu gua terus preh motor ke kedai Awie dengan memakai helmet telur masin yang ada visor. Visor diturunkan sebagai langkah pencegahan daripada serangga berterbangan memasuki mata. Sampai di kedai Awie, gua tengok ramai gak customernya, entah apa pelaris Awie pakai, siang malam orang ramai kat kedainya. Gua matikan enjin motor, kunci gua biarkan ditinggal kat lubangnya, orang lain pun tak Cabut jugak kunci motor diaorang. Gua tak rasa ada orang berani curi motor gua ni, lagipun gua bajet nak shopping sekejap je ni. Tanpa menanggalkan helmet, tangan gua culas mencapai ubat nyamuk ridsek dan ubat gigi kolget yang besar sekali. Kalo yang besar ada percuma kole upin dan ipin. Gua potong line masa nak bayar, nak cepatlah katakan. Masa bayar tu, Awie tanya gua kerja apa sekarang, gua rasa itulah soalah sama yang ditanya setiap kali gua kekedai dia. Pasal soalan dah sama, gua jawab dengan jawapan yang samalah.


Habis aje scene dalam kedai tu, gua bawak barang yang gua baru aje tukarkan dengan duit hasil lelehan peluh gua tu, letak dalam raga motor. Start motor, gua terus pacu laju-laju. Gua jarang keluar malam-malam ni sebenarnya, kalo darurat macam ni baru gua keluar. Gua rasa malam tu naik motor best jugak, rasa sedikit kelainan waktu menunggang tu, udara pun sejuk cam kat Sweden, patutlah mat-mat rempit suka merempit malam-malam. Gua pacu lagi laju motor tu, gua rasa boleh tahan jugak dia punya power. Sampai kat rumah, gua bawak barang-barang yang baru dibeli tu keatas rumah dan gua sambung semula tengok movie tadi, walaupun dah terlepas beberapa scene ni. Gua tengok sampai habis movie tu, kurang-lebih pukul 12 ianya tamat.


Gua pun dah rasa mengantuk dah ni, lepas pegi tandas, gua turun nak kunci motor. Gua pakai motor Honda anak lembu aje, so motor Honda anak lembu ni kalo nak kunci tengkuknya, lubang kuncinya terletak dibahagian atas tayar depan. Nak senang kunci, kena duduk bertinggung sebelah tayar depan tu. So dalam posisi sebegitu mata gua terpandang sesuatu benda yang membuatkan gua berpeluh sejuk dan rasa mengantuk gua terbang ke langit.


Benda tu adalah TM5471, dan ianya bukanlah plet nombor motor gua. Gua peratikan semula dengan teliti, dah sah tanpa perlu bersuluh lagi, walaupun motor ni jenisnya sama dengan motor gua, tapi nombor plet tu menyatakan gua bawak balik motor orang lain masa kat kedai Awie tadi. Mesti dah riuh tak tinggi kat kedai Awie tu. Patutlah feel menunggang tadi tu lain macam aje.

Time tu jugak gua didalam dilemma, samada nak pegi hantar balik ke tak nak motor ni.

Saturday, 22 September 2012

USOP NAPALM DEATH

Usop, atau namanya seperti yang tertera dikulit buku latihan masa dia bersekolah dulu iaitu Yusop haslam adalah anak tunggal Makcik Sherry. Oleh kerana Usop adalah anak tunggal, makanya Makcik Sherry terlalu manja-manjakan sangat anaknya yang sorang ni sampai Usop dah jadi seorang yang pemalas sangat-sangat, unta kat Australia pun takde pemalas macam Usop ni. Usop yang tak bekerja tu, langsung tak menolong kerja-kerja dirumah, semuanya Makcik Sherry yang buat. Dari masak lamb chop, vacumn karpet, trim pokok bunga pagar buat bentuk rusa, basuh baju guna tangan (pasal rumah diaorang takde mesin basuh), semuanya Makcik Sherry yang guling bating buat.


Kerja Usop hanya dengar lagu Napalm Death, dia peminat tegar gila dengan band grindcore tersohor tu. Sejak dengar kaset 'scum' yang dipinjam dari Juki, anak ketua kampung beberapa tahun yang lampau, Usop dah jatuh cinta pendengaran pertama. Semua album Napalm Death dia ada, kalo yang susah nak cari yang ori tu, dia akan dubbing dalam bentuk kaset kat kedai Ghani GPJ kat kompleks kampung Tiong tu. Semuanya Napalm Death. Minat Usop terhadap Napalm Death ini juga dizahirkan melalui koleksi tshirt Napalm Death-nya, berbelas-belas helai dah tergantung dalam gobok buruknya itu. Semuanya kaler hitam-hitam. Itu dah kira macam uniform Usop tiap-tiap hari. Begitu fanatiknya Usop dengan Napalm Death, dah tiga kali band tersohor tu datang buat gig kat Malaysia, ketiga-tiganya Usop pegi, Usop kata dia duduk barisan depan sekali. Rambut Usop pun dah dibuatnya stail pemain bass Napalm Death.


Disatu bulan tu, tangan Makcik Sherry patah akibat jatuh basikal fixie semasa main congek basikal kat depan rumah ketua kampung. Apa jadahnya Makcik Sherry main congek basikal pun aku tak tahu, nasib baik ketua kampung hantar Makcik Sherry ke klinik satu Malaysia. Tangan Makcik Sherry beranduh, tak boleh nak buat kerja. Basuh berak pun stail istinjak aje. Oleh kerana Makcik Sherry tak boleh melakukan kerja-kerja rumah dan Usop pula kerjanya makan, tido dan Napalm Death saje, maka nya bertimbun-timbun kerja terbengkalai kat rumah Makcik Sherry tu. Pinggan tak berbasuh, penuh rumbu sinki. Pokok bunga pagar trim rusa, dah jadi macam bentuk gajah. Kain -baju tak berbasuh, dah bertimbun menggunung jadinya, termasuklah baju Napalm Death yang Usop pakai tiap-tiap hari tu.


Sampailah satu hari tu, Usop yang dah kekontangan stock baju Napalm Death bertanyakan Makcik Sherry,

"Emak, mak tak basuh ke baju Napalm Death Usop? Usop dah tinggal yang ni selai je lagi buat pakai", kata Usop sambil menarik-narik baju yang hanya bertulisan 'Napalm Death' ditubuhnya itu.

"tangan mak kan patah, tak boleh nak buat kerja lagi", kata Makcik Sherry seakan meminta simpati dari anaknya yang tak reti bahasa tu.

"Usop pakailah baju lain dulu, baju melayu pun ada tu",tambah lagi Makcik Sherry.

"Apahal pulak nak pakai baju melayu, ni bukannya hari raya. Sebagai peminat tegar Napalm Death, Usop mesti memakai baju Napalm Death setiap hari, kalo tak, rosaklah reputasi Usop nanti", Usop membebel bengong, Usop memang bengong.

"Usop tak kira, mak kena basuh baju Napalm Death Usop tu sekarang jugak", kata Usop separa menengking.

"kau memang tak reti bahasa kan Usop! Mak sumpah kau jadi mesin basuh baru kau tahu", Makcik Sherry membalas.

"ini bukan zaman Si Tanggang mak, sumpah-menyumpah dah tak jadilah sekarang ni", Usop memperlecehkan kata-kata Makcik Sherry tu.

"kau tak percaya, kau tengoklah nanti, kau tengoklah nanti......",kata Makcik Sherry memulakan ayat.


Pada masa itu juga, dengan tidak semena-mena, guruh bersuara garau dilangit, awan bertukar hitam, kilat sabung-menyabung.


Dua hari selepas itu.
Makcik Sherry melepak diatas kerusi malas di anjung rumahnya. Di halaman terdapat satu ampaian yang penuh dengan jemuran, termasuklah baju Napalm Death Usop. Makcik Sherry memandang dengan penuh sayu, diusap-usap tangannya yang masih beranduh itu. Kelibat Usop tidak kelihatan. Hingar-bingar muzik Napalm Death juga sudah tidak memenuhi ruang udara lagi. Nung disudut dapur, berdekatan dengan pintu bilik air, terdapat satu mesin basuh. Di badan mesin basuh itu terpampang perkataan 'NAPALM DEATH'.


Moral:.Napalm Death tak pernah ajar supaya derhaka kat mak kita.

SPACE COP GABAN

Pekerja-pekerja bank bertempiaran lari, pekerja Pustaka Seri Intan bersembunyi didalam kedai, gril pintunya ditarik rapat ke bawah. Tokey kedai ubat sebelah menyuruh pekerjanya lari ikut pintu belakang, sambil menepuk dahi, tokey tu mengeluh,"haiya! Mau bisnes pun susah ini macam maa". Pekerja-pekerja kedai kain, lari menyorok bawah kain. Awok-awok Lembaga Hasil Dalam Negeri guling-bating lari dok tahu pah kemana. Si bisu yang jaga parking sebelah pejabat umno tu, buat macam biasa je, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tapi apa yang sebenarnya sedang melanda Bandaraya kuala Terengganu ni? Apa bala yang sedang berlaku ni?


Raksasa biawak air telah menyerang kuala Terengganu! Berita gempar ni! Dalam suratkabo Sinar, akan terpampang dimuka depan, sebelah gambo Mat Said. Raksasa ni hyper besarnya. Sebesar dua buah lori balak, berjalan dengan dua kaki sahaja. Tubuh bersisik, bermuka parut- mungkin kesan dari pertarungan silam. Dikhabarkan mula-mula muncul dari dalam laut bersebelahan dengan Zee Corner kat Pulau Kambing tu. Selepas baham lima-enam tong air shake-shake kat situ, raksasa tu beredar pula kekawasan bank di pusat bandaraya ni. Apa tujuannya? Masih samar-samar lagi. Setakat ni sudah empat puluh dua buah kereta diterbalikkan, semuanya MYVI, pandai pulak raksasa biawak air ni pilih-pilih target. Lampu isyarat pula baru tiga batang dilibaskan sampai patah dengan ekornya yang panjang tu, semuanya patah-riuk.


Kini dia membuat onar didepan Maybank pula-lidah bercabangnya dijelir-jelirkan kedalam bank. Didalam bank hanya tinggal seorang Pok guard yang tua bertemankan sebatang cotar. Dikatoknya lidah bercabang itu dengan cotarnya, tak memberi kesan kepada raksasa biawak air. Raksasa biawak air membalas, ditampornya dua kali Pok guard tu, bersepai gigi Pok guard. Bulan depan Pok guard dah kena buat gigi palsu, nak pakai kena guna Polident, barulah boleh makan steak tanpa segan-segan macam dalam tv tu. Mamat yang mintak sedekah depan mesin ATM tu masih lagi disitu, masih buat muka kesiannya, hari ni dia pakai hooded Butterfinger.


Dari kejauhan, ternampak satu kelibat yang kecil, tapi semakin dia mendekati, Semakin kelibat tu membesar. Itulah dia! Penyelamat kita sudah sampai. Space Cop Gaban datang dengan kereta perisai gaban berwarna merah darah ayam, memang garang dan bergaya sekali, lalu diparkingnya kereta perisai gaban tu didepan Maybank. Sisa-sisa manusia yang masih berada ditempat kejadian bertepuk tangan memberi semangat kapada wira mereka. Mungkin ini adalah satu-satunya penyelamat kepada bandaraya kuala terengganu.


Gaban bersedia untuk bergocoh dengan raksasa biawak air itu, diambilnya pedang Gaban, akan digunakan jurus potong lapan hari ini. Gaban menapak dengan berhati-hati kearah raksasa biawak air yang ketika itu rakus menjilat didalam CIMB pula, tiba-tiba Gaban terdengar namanya dipanggil dari belakang, Gaban menoleh,

"Encik, encik tak boleh parking kereta perisai encik ni kat sini", ujar seorang pekerja Majlis Bandaraya, bahagian saman menyaman kenderaan.

"tapi aku ada misi penting ni, untung nasib bandaraya ni di tangan aku sekarang", kata Gaban sambil mengengam tangan kanannya, menunjukkan konon penting peranannya itu.

"itu saya tahu encik, tapi saya hanya menjalankan tugas aje, kalo encik Gaban parking kat sini jugak, saya terpaksa saman kereta perisai encik ni", kata pekerja majlis bandaraya itu semula.

Gaban tak puashati, disimpannya pedang Gaban, dihidupkan enjin kereta perisai Gaban-nya, dipulas pendikitnya sehabis mungkin. Gaban merajuk, ditinggalkan satu pertarungan yang masih belum bermula itu. Gaban balik rumahnya, sampai dirumahnya, Gaban terus ratah Milo.

Dikawasan depan bank, raksasa biawak air terus rakus menjilat.

Sunday, 16 September 2012

KEJORAKU BERSATU

Se usai segala urusan dengan bank itu hari, aku bercadang nak beli ubat gatal kat seberang jalan nung. "Econazine", nama ubat tu, susah jugak nak ingat asalnya, aku siap bawak bekas kosong ubat tu, nak buat sample. Ubat ni kegunaannya adalah untuk gatal yang ringan-ringan cam gatal akibat alahan makanan ke, untuk gatal yang berat-berat cam kurap ke, tak boleh guna ubat ni, kena guna yang lagi power rangers. Kalo yang jenis gatal berat 66 cam gatal nak kawen lagi sorang pun, lagilah tak boleh guna ubat ni, yang tu kena pergi cari cermin dan cermin-cerminkanlah muka tu dulu.


Kedai ubat terletaknya berhadapan dengan bank yang baru aku keluar tadi, tapi dari bank ni kena melintas jalan dulu-lah. Aktiviti melintas jalan kat area sini pun dah jadi satu kisah yang mengerikan. Kereta tak pernahnya nak bawak slow-slow time lalu kat sini. Kalo slow-slow pun mereka tak bawak, apatah lagi perlahan-lahan, pasal makna kata sifat tu sama je, cuma satu dalam BM dan lagi satu dalam BI. Motorsikal pun pesen yang sama, entah nak pergi mana tau laju-laju tu. Sepatutnya pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dirikan satu jejantas kat area berdekatan, ni tidak, nak tunggu lapan belas orang mati kena langgar dulu baru nak buat jejantas gamaknya. Kalo rancangan Fear Factor Asia kembali ke kuala Terengganu dimasa mendatang, diaorang patut menjadikan acara melintas jalan depan bank ni sebagai satu cabarannya, barulah seriau. Mahu tak mahu, aku terpaksa jugak menyeberangi jalan yang sibuk ni atas satu niat yang murni, itupun selepas mengangkat-angkat tangan minta lalu dari raksasa-raksasa kejam ni.


Setelah selamat sampai di seberang jalan, aku singgah di kedai sebelah kedai ubat tu sekejap, kedai buku Pustaka Seri Intan namanya, ataupun PSI kalo nak singkatan nama yang bunyinya lebih urban sikit. Betul ke bunyinya sedikit urban? Lantaklah, tak jadi kudis pun. Bagi aku PSI adalah kedai buku yang paling lejen disini. Aku pernah beli Razorcake kat sini, majalah Terrorizer pun biasa aku beli kat sini. Hari tu aku pegi baca suratkabo jap, ada isu panas, isu persengketaan antara Neelofa dan Anzalna. Lepas baca secara free tu, aku perasan satu perkara, dua perkara sebenarnya. Yang pertama ialah Anzalna adalah lebih tonggek dari Neelofa, dan yang kedua adalah ejaan nama Neelofa adalah 'N double E', aku ingatkan 'NEO', seperti NEOlofa. Oleh kerana aku baru dapat pengetahuan baru tu, aku main tunggang-terbalikkan perkataan 'NEELOFA' tu dalam kepala otak berjambul aku sambil berjalan slow-slow atau perlahan-lahan ke kedai ubat bersebelahan.

Sampai kat kedai ubat tu, aku terus ke kaunter seraya berkata,"NAK BELI NEELOFA SATU", secara minda diluar kawalan. Malu time tu sukar digambarkan dengan penulisan, kalo aku boleh bertukar bentuk, dah lama aku bertukar Jadi botol air mineral. Tapi aku buat respons yang orang tersasul ajelah, buat eh! eh! gitu. Nasib baik takde orang kenal aku kat situ.
Sehingga entry ni ditulis , itulah kali terakhir aku pegi ke kedai ubat tu.

KISAH ROY DAN NASI LEMAK

Kurang-lebih pukul 6:30 tu Roy dah bangkit dari mati yang sementara tu, kalo boleh dia nak sembam aje barang sejam-dua lagi dihari yang dia tak kerja ni, tapi oleh kerana hari tu adalah penghulu sekalian hari, makanya Roy tak jadi nak sembam. Bukan atas dasar nak memuliakan hari, tapi Roy tahu setiap hari jumaat, emak Roy iaitu Makcik Isabella akan masak satu hidangan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh Roy iaitu tak lain dan tak bukan nasi lemak. Kalo boleh, Roy mahu setiap hari adalah hari jumaat, kalo tak boleh setiap hari- selang-seli pun takpe. Ritual Makcik Isabella tu dah diamalkan sejak Roy sekolah rendah lagi. Nak kata spesel sangat nasi lemak Makcik Isabella tu rasanya takdelah pulak, nasi lemak sambal bilis aje, timun pun ada masa wujud, tapi kebanyakkan masanya tak wujud. Tapi dalam dunia gastronomi Roy, itu diumpamakan seperti hidangan kelas pertama dari syurga, gara-gara air tangan emaknya.


Lepas-lepas aje mandi dan membojeng rambut ala Jefridin, Roy berseluar pendek tanpa baju, mengatur langkah ke dapur. Setiap langkah Roy ke dapur adalah langkah yang paling bersemangat sekali, langkah dalam perbarisan hari kemerdekaan pun takde bersemangat macam tu. Sesampai aje didapur yang sederhana besar tu, Roy rasakan auranya ada sedikit berbeza dengan aura hari-hari jumaat yang lepas. Kali ini didapur tiada bau lemak santan dan tiada wangi daun pandan. Roy separa cemas. Cemas campur lapar. Roy cari nasi lemak atas dapur, takde. Roy cuba cari bawah besen biru, atas almari, negatif. Roy try tengok dalam peti ais satu pintu kat dapur tu, itu pun juga negatif. Nak intai bawah tudung saji, tudung saji tergantung kaku di dinding. Termometer pengesan kecemasan Roy menunjukkan bacaan yang semakin meninggi. Roy cemas, cemas campur lapar.


Lepas cari nasi lemak tak jumpa, Roy cari pula emaknya. Kat dapur dah memang sah-sah tak ternampak kelibat Makcik Isabella, kat ruang tamu pun takde. "jangan-jangan mak aku dah kena culik, atau dia berjalan dalam tidur malam tadi", hati kecil Roy bersuara, suara yang hanya Roy boleh mendengarnya. Roy kuak pintu bilik mak kesayangannya itu, juga takde. Tak boleh jadi dengan keadaan tersebut, Roy berteriak memanggil emaknya, selepas dua-tiga kali berteriak ala Tarzan, akhirnya teriakan Roy disahut. Sayup-sayup bunyinya dibelakang dapur.


Roy berlari pantas kedapur, sampai didapur ditolaknya pintu maling dapur yang berkeriuk bunyinya, lalu Roy menjojolkan kepalanya, maka ternampaklah Makcik Isabella sedang menyapu daun-daun kering yang gugur semasa suasana pagi yang masih 'terang-terang tanah' gitu.
"Ada apa Roy?", tanya Makcik Isabella dengan penuh kasih -sayang.
"Mak! Kenapa mak tak masak nasi lemak kegemaran Roy hari ni? Mak kan tahu, setiap hari jumaat itu adalah makanan wajib Roy. Mak memang dah tak sayangkan Roy lagi", kata Roy yang konon-kononnya merajuk. Sepatutnya dalam usianya itu, sifat merajuknya tu dah kena eksport jauh-jauh, setidak-tidaknya ke negeri china.
"Nasi lemak kepala otak berjambul kau , hari ni kan start puasa", kata Makcik Isabella sambil buat mata bulat getel, marah le tu.

Roy termanggu, baru dia tersedar, hari tu adalah hari pertama puasa. Roy melangkah lemah ke bilik, disembam kepalanya ke bantal, sambung tido.

TELUR GORENG MATA KUBA

Pagi tadi aku pergi breakfast dengan famili aku kat warung area kampung aku jugaklah. Sesekali makan hasil air tangan orang lain seronok juga rasanya. Kami pergi empat beranak, iaitu seorang suami dan ayah yang koya punkrock, seorang isteri yang cantik, sebab dia isteri aku, aku kata dia cantiklah, takkan nak tunggu orang lain puji isteri kita cantik. Itu bodoh namanya, silap hari bulan boleh buat modal bergocoh. Turut menyertai rombongan breakfast yang tak seberapa ni ialah seorang anak perempuan yang gemuk macam ayahnya dan seorang anak lelaki yang kalo boleh taknak duduk diam. Jadinya cukuplah kuota empat beranak itu kan?


Warung sasaran kami pada pagi yang dah tak seberapa nak pagi tu adalah kat depan KUSZA ( KUSZA- aku lebih suka namanya yang lama ini), aku ingat nak makan roti canai telur kat sini. Dah lama tak makan roti canai telur kat sini, kuah dhal nya memang layan. Isi dalam kuah bervariati tak patut. Sampai-sampai kat warung tu, aku hampa campur tension, warung ni dah tak jual roti canai dah, mat bangla yang tukang tebar roti canai tu dah balik kampung, kemungkinan besar permitnya gagal disambung, gamaknyalah.


Oleh kerana roti canai dah takde dalam senarai menu, dan kami pula tu rasa malas nak pergi tempat lain, kami beralternatif kepada nasi lemak pulak. Nasi lemak harganya rm2.50 sepinggan, kami order empat pinggan. Dalam pinggan plastik yang ada gambar bunga kat tepi tu, nasi lemaknya ada sambal, telur goreng mata kuba, timun dan sudah semestinya nasi lemak yang tak seberapa nak lemak tu, santan mahal gamaknya. Oleh kerana tension tak dapat makan roti canai telur, nasi lemak aku punya, telur goreng mata kubanya aku mintak dua bijik. Sampai aje minuman dan nasi lemak kemeja, kami terus makan, dan makan, dan makan. Sesekali minum air bila terasa hawa pedas sambal nasi lemak. Oleh kerana aku ada sedikit terpengaruh dengan penangan muzik fastcore, makanya akulah yang habis makan dulu.


Anak lelaki yang tak reti duduk diam, tak nak makan nasi lemak, minum air melo peng aje habis segelas sebelum gadoh nak pegi tengok lori lalu-lalang. Oleh kerana mahu mengelakkan berlakunya pembaziran, aku makan perabis nasi lemak anak lelaki aku tu, membazir itu amalam syaitan, tak gitu? Isteri aku dah habis makan nasi lemak, tapi tak dimakannya telur goreng mata kuba tu. Anak perempuan aku pun dah habis makan nasi lemak, disebabkan ibunya tak makan telur goreng mata kuba tu, dia pun taknak makan jugak. Memang anak ibu betullah yang sorang ni. Oleh kerana tidak mahu mengikut amalam syaitan, aku ambik kedua-dua telur goreng mata kuba tu, aku perabis kedua-duanya. Perut aku memboyeh.


Selesai makan, aku terus membuat matematik mudah dalam kepala aku, hasilnya adalah lima. Pada pagi yang tak seberapa nak pagi tu, aku telah makan lima, diulangi dengan huruf besar, LIMA biji telur goreng mata kuba dengan sekali harung aje.

Sambil melonggarkan tali pinggang, aku berkata kecil, "dah macam hantu raya pulak aku rasa ni".

Sunday, 9 September 2012

KHAIRUL FAHMI APEK

Pada satu hari tu, Sharbinee tengah naik basikal fixie-nya untuk balik ke rumah. Termengah-mengah jugaklah Sharbinee kayuh basikal tu, walaupun baru kurang lebih 3 kilometer je. Asalnya Sharbinee bukanlah minat sangat kat scene basikal fixie ni, tapi ari tu dia tengok Mat Said naik basikal, terus dia rasa nak beli satu. Hari ni rasa nak beli, esok terus beli, entah dari mana dia ambik duit pun aku tak tahu. Oleh kerana nak menjimatkan masa, Sharbinee bercadang untuk menggunakan jalan short-cut untuk balik ke rumahnya, iaitu jalan kat tengah sawah tu.


Jalan ni kecik je, muat-muat untuk sebuah kereta kancil lalu. Jalan ni agak sunyi, tak ramai yang menggunakannya. Biasanya yang menggunakan jalan ni adalah petani-petani yang hendak ke sawah aje. Tapi kalo Sharbinee menggunakan jalan ni, di penghujung jalan ni adalah rumahnya terus.


Sebelum simpang masuk ke jalan short cut tu, ada orang menjual air tuak, Sharbinee beli satu plastik yang harga RM2, terus dia minum atas basikalnya,suka bebenor Sharbinee minum air tuak ni, dah feberet dia sebelum azali lagi.


Tengah-tengah best Sharbinee minum air tuak sambil mengayuh basikalnya, Sharbinee ternampak seekor kura-kura di tengah jalan. Terlentang, kura-kura tu terbalik dengan keempat-empat kakinya keatas. Sharbinee Turun dari basikalnya kerana dia rasa tertarik untuk melihat keadaan kura-kura tersebut. Kura-kura itu masih lagi terkial-kial untuk berada dalam posisi yang sepatutnya. Melihat keadaan itu, Sharbinee merasa geli hati, mungkin jugak jantung dan ginjalnya terasa geli sama. Terus Sharbinee ketawa sorang-sorang di tengah jalan tu. Sharbinee ketawa lagi kuat, mungkin rangsangan dari air tuak yang diminumnya.
Tiba-tiba Sharbinee terdengar satu suara," tolong, tolong aku wahai orang muda", kata suara itu.
"sapa tu?", tanya Sharbinee pendek, saat itu juga pundi kencingnya terasa lain macam aje, tetapi Sharbinee tahan.
"aku kura-kura di depan kau ni. Aku kura-kura ajaib. Kalo kau tolong aku, tiga permintaan ko akan aku tunaikan.
Antara percaya dengan tidak, ketakutan Sharbinee mula menyusut, diganti pula dengan perasaan seronok bercampur tamak. Sharbinee terus menebalikkan kura-kura tersebut ke posisi yang sepatutnya, kaki ke bawah.
Seketika kemudian kura-kura itu bertanya," apa 3 permintaan kamu wahai anak muda?"
" aku mahu basikal aku ni bertukar menjadi motor Harley Davidson macam motor Awie tu. Aku juga mahu satu jag besar air tuak yang best macam ni setiap hari", kata Sharbinee sambil menunjukkan plastik bekas air tuak yang diminumnya tadi tu.
Selepas kura-kura ajaib mengira-ngira dengan jarinya, dia bersuara," itu baru dua permintaan, apa yang terakhirnya?",
Sharbinee berfikir sebentar, tiba-tiba dia teringatkan pada Khairul Fahmi, terus dia berkata kuat-kuat, "aku mahu jadikan muka aku macam Apek ".
"orait," jawab kura-kura ringkas. "esok pagi, apabila kamu bangkit dari tidur, semua permintaan kamu itu akan dipenuhi. Terima kasih dan selamat tinggal anak muda," tambah kura-kura ajaib sambil berlalu pergi meninggalkan Sharbinee yang tersengih sorang-sorang kat tengah panas tu.


Sampai aje kat rumah, Sharbinee terus tidur, walaupun baru pukul tiga petang. Sharbinee tidur sungguh lama, bangun tak bangun, pukul tujuh keesokkan harinya. Bab-bab tidur ni, serah aje kat Sharbinee.
Bangun aje dari tidur, Sharbinee dapati satu jag besar penuh air tuak diatas meja, disebelah katilnya. Entah siapa yang meletakkannya disitu, Sharbinee tak mahu ambik tahu. Terus diminumnya air tuak tu tanpa gosok gigi terlebih dahulu. Dia rasa segar dan seronok memikirkan permintaannya sudah ditunaikan.
Lepas tu, Sharbinee menjenguk dari pintu maling biliknya tu, ditempat parking basikalnya kelmarin, kini sudah ada sebuah motor Harley Davidson, sebijik macam yang Awie punya. Sharbinee rasa macam nak menjerit kegembiraan.

Terus dia menuju kedepan cermin didalam bilik tidurnya itu, ingin dia memandang perubahan wajahnya pula, sekilas-dua kilas dia memandang cermin, dia masih tak percaya. Setelah hampir seminit didepan cermin, Sharbinee mula meraung, bahawa refleksi cina tua didalam cermin itu adalah wajahnya sekarang.
Khairul Fahmi=apek=cina tua.

SELAMAT PENGANTIN BARU

Hari ni kat rumah jiran aku ada buat majlis kenduri kahwin, " bekwah" kata orang Teganung. Entah anak dia yang mana satu yang kawin, aku kurang pasti pulak, mungkin yang gemuk, hitam tu kot. Kalo yang tu syukurlah, sekurang-kurangnya ada jugak orang yang nak kat dia, tapi zaman sekarang ni rupa-paras dah agak kurang penting, yang seakan menjadi keutamaan, kantungnya tebal. Tadi aku dah pegi makan nasi sama minum air sirap kat rumah jiran aku tu, lepas lepak-lepak layan orang-orang kampung sembang blue, aku pun blah.


Kenduri-kendara kat kampung aku ni masih lagi dibuat secara gotong-royong. Orang-orang kampung datang tolong hal-hal memasak, membasuh pinggan-gelas, jadi pelayan sambilan dan bermacam lagilah aktiviti untuk melancarkan majlis. Setakat yang aku tahu, takde lagilah yang ambik caterer dalam hal jamuan ni. Setakat sewa kanopi dengan kerusi-meja tu, biasa lah. " wedding planner" pun kira anak beranak je yang uruskan. Semuanya dilakukan dengan ikhlas, kalo ada upah pun, biasanya sehelai kain tuala aje. Ataupun kalo untuk tukang masak, mungkin ditambah dengan sehelai kain pelikat. Biasanya kat tempat memasak nasi dan gulai daging, dah tersedia sekarton rokok gudang suria dan sekarton rokok John. Time tu asap dapur ngan asap rokok dah sama lebat, perokok-perokok tegar betul-betul rasa dirahmati.


Jiran aku ni buat kenduri ada jemput sekali DJ untuk meriuhkan majlis, bukan DJ DAVE , ni DJ yang pasang-pasang lagu tu. So hari ni, aku bangun-bangun tido je dah dengar lagu Anggur Merah, aku ingatkan aku mimpi lagi, kalo betullah aku mimpi, memang tak true langsunglah mimpikan lagu Anggur Merah. DJ yang bertugas ni boleh tahan jugaklah dalam menjalankan tugas dia, takdelah macam sesetengah DJ tu yang hanya pasang lagu dan duduk tercongok je atas kerusi sampai ke petang. DJ ni siap berpakaian baju melayu, bersamping macam dia pulok yang nak kawin. Dia agak petah berceloteh, menjemput para hadirin makan. Sesekali tu dia menyanyi, layan karaoke sorang-sorang lagu S. Jibeng. Tapi suara dia tak sedap, sedap lagi suara aku. Time ni aku rasa nak tampor je DJ ni, tapi kalo aku tampor, dan DJ tu cedera parah, sapa pulok nak ganti tempat DJ tu kan. Nak suruh Pok De Burung? Nak harapkan Usop Bulu? Memang jahanam lah semuanya. So aku batalkan saja niat murni aku tu.


Oleh kerana DJ ni pakai microphone yang wireless tu, so dia boleh ronda-ronda seberapa jauh yang dia rajin. Sampai dalam rumah, tempat orang memasak dia pegi interview. Sampai kat dapur dia pegi tanya kot-kot makcik kat situ nak dengar lagu Justin Bieber. Antara lagu yang diputarkannya yang aku tahu, macam lagu Pengantin Baru dari Wann, lagu Hail Amir dan Uji Rashid, lagu-lagu lama, lagu dangdut, dan sebab sekarang ni musim raya, dia turut memainkan lagu raya. Lagu Wormrot? Jangan haraplah, kat kenduri kawin Pidot nanti mungkin ada kot:)

Time aku tulis entry ni pun, soundtracknya masih lagi lagu pengantin "bunga rampai ditabur-tabur", lepas tu lagu Saloma pulok, hadus. Layan jugak lagu-lagu lama ni, takkanlah nak layan grindcore sokmo.
Rasanya petang ni aku tido dengan runut bunyi lagu pengantin, mungkin dapat mimpi jadi pengantin sekali.

SEGAR DARI LADANG

Lepas aku tulis entry yang bertajuk "budak kecik naik lemak" tu, aku dapat satu idea nak tulis pasal satu kedai kat area Gong Badak ni. Kedainya biasa je, tapi dia ada satu produk yang ganah untuk dijual. Aku terserempak dengan kedai ni pun masa bulan puasa baru ni. Bulan puasa, takde kerja, so apa lagi ronda-ronda je lah kerjanya. Kalo geng-geng Cradle Of Filth atau Bephemoth tahu pasal kedai ni mesti diaorang berminat nak datang sini. Paling kurang pun buat video klip dalam kedai ni.
Tapi lepas raya ni, aku pegi semula kat kedai tu, nak ambik gambar banner kat depan kedai tu, dah takde. Kedai ada lagi, banner dah takde, kedai masih lagi jual santan, tapi banner yang dulu tu memang rare, digantung depan kedai, dengan tulisan besar-besar:-
"SATAN SEGAR ADA DISINI".
tukang tulis banner tu dah wajib kena tampor laju-laju.

ALIM KUCING

Masa cuti raya itu hari, aku jumpa bekas classmate lama aku.Orangnya dipanggil Alim Kucing, nama sebenarnya Abdul Halim, orang melayu ni memang kreatif bab-bab bagi gelaran kat orang. Nama je classmate, tapi aku tak kamceng mana pun ngan Alim ni, dia ada group dia sendiri, aku ada group aku sendiri, cuma kami ditakdirkan berada dalam satu kelas yang sama. Alim adalah seorang yang suka bercerita, dan ceritanya biasanya bersifat bombastik. Dengan sound effect dan bersembur-sembur air liurnya kalo Alim Kucing bercerita. Kalo dah lama sikit dia bercerita tu, kat tepi kedua belah mulutnya akan membentuk buih-buih putih kekuningan, sama macam Cikgu Geng dulu.


Cikgu Geng adalah cikgu gantian untuk subjek matematik aku masa sekolah dulu. Cikgu Geng menjadi cikgu ganti untuk Cikgu Zainab yang cuti beranak, dan aku rasa Cikgu Zainab tu tiap-tiap tahun dia cuti beranak, dah macam tapir lagaknya. Nama Cikgu Geng seperti yang tersurat dalam MyKad nya, tidak kekal dalam minda murid-murid. Dia ada bagitau namanya masa mula-mula masuk kelas , tapi lepas tu dia tulis kat papan hitam,"just call me Cikgu Geng", nama tu jadi lebih glamer dari nama sebenarnya. Cikgu Geng ni adalah cikgu gantian yang ada bisnes nurseri, bukan jaga budak-budak kecik, tapi jual-jual pokok dan barangan berkebun gitu. Biasanya dia bawak sekali barangan nurseri-nya ke sekolah. Cikgu-cikgu perempuanlah yang suka belinya. Baja lah, anak pokok lah, pasu bunga lah. Kalo cikgu lelaki yang beli, aku ada tengok diaorang deal undertable je, entah apa jadahnya yang dijual tu, ubat kuat kot. Time Cikgu Geng tengah meng- kempen-kan kebaikan dan kepower-an barangannya tu, buih-buih putih kuning pasti muncul di tepi-tepi mulutnya. Macam jugak Hishamudin Tun Hussein.

Dulu ada seorang ustaz cakap, yang aku ingat lagi, katanya,"orang yang mulut berbuih ni, biasanya orang ni kuat LEBONG ( menipu)",
Aku rasa memang ada betulnya.

BUDAK KECIK NAIK LEMAK

Aku tak pasti berapa darjah Celsius suhu hari tu, tapi panas sangatlah rasanya. Panasnya seperti berada ditepi kawah tempat orang memasak untuk kenduri-kendara. Atau panasnya seperti berada dalam venue gig masa kat Actors Studio dulu-dulu. Mungkin sebab sekarangni bulan puasa, panas sikit pun dah rasa macam panas sangat.
Pasal aku tak pakai jam tangan, aku tengok aje waktu kat hanset cap ayam aku, dalam pukul 1:30 petang. Walaupun hanset ni cap ayam, dah lebih tujuh tahun dia berjasa kat aku, dah bermacam-macam manusia aku berhubung melaluinya, cuma Neelofa aje yang belum pernah call aku melalui handset ni, eleh! aku tak heran pun Mek tu. Aku on da way nak balik Dari bandar kuala Terengganu ni. Tadi pegi bandar buat akaun bank, lepas siap akaun, pegi kat mesin ATM, terus keluarkan semula wang untuk buka akaun tadi, tinggal rm30 je. Itu agaknya permastautin tetap dalam akaun aku untuk masa-masa akan datang.


Apalah malang nasib hari tu, keempat-empat lampu merah, lama pulak tu, cam dia tahu je aku nak cepat balik ke rumah. Berada diatas motorsikal, ditengah panas terik memang menguji kesabaran yang bukan sedikit. Motorsikal kuasa rendah aku pun bukannya ada bumbung, lagilah menggelegak umbun-umbun akibat wap panas.


Masa kat lampu isyarat persimpangan JPJ tu, kat sebelah aku ada sebuah kereta. Sebenarnya kiri, kanan, belakang, depan aku ada kereta, cuma aku nak cerita kereta yang ada kat sebelah kanan aku ni je. Kalernya maroon, kalo Mek Yah kampung aku kata ni kaler merah darah ikan, tak tahu r pulok ikan apa, tapi aku rasa darah semua ikan kaler dia sama je kan? Kereta kat sebelah aku tu kereta proton, tapi aku tak tahu model apa yang lebih spesifik. Kat dalam kereta tu ada tiga orang penghuninya. Kat bahagian depan, ada dua orang, lelaki dan perempuan, kalo dilihat pada penghuni kat belakang tu, adalah selamat untuk meneka dua orang di depan tu merupakan pasangan suami-isteri. Kat tempat duduk belakang, ada seorang budak dalam umur empat tahun, kalo dilihat dari pakaian dan airmuka budak tu, aku rasa itu budak lelaki.


Oleh kerana aku berhenti motorsikal betul-betul sebelah budak lelaki tu, budak tu mula usha aku dengan jakunnya, mungkin dalam hati kecilnya berkata,"bertapa coolnya brader ni, kat atas motorsikal, ditengah panas, dibulan puasa ni". Tiba-tiba budak lelaki tu rapat ke cermin kereta yang dinaikinya, mula-mula dia ketuk cermin kereta tu, mungkin untuk mendapatkan perhatian aku kot. Lepas tu dia pun mula " menampalkan" mukanya sendiri kat cermin kereta tu, macam-macam stail dia buat, ada stail bibir tebal, ada stail hidung babi dan lain-lain yang belum aku kategorikan lagi. Aku dah menggelegak time tu, kombinasi masa dan aksi tu yang cukup membangkitkan ghairah aku untuk menampor seseorang. Tapi budak-budak memang comel, so aku batalkan saja niat murni aku tu. Aku takderlah terlalu kejam untuk menampor budak-budak.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Sampai kat rumah, tekak dahaga dan kering gila. Line clear, takde sorang pun kat rumah. Aku bukak peti ais, ada macam sekotak air yang dah dibuka. Kotak agak besar, saiz 1liter gitu. Aku ambik kotak tu, aku terus tonggok dari kotak. Sampai separuh jalan, aku rasa ganjil sikit, cam rasa tawar je, tapi lebih lemak pulak. "air susu apa ni?", kata aku dalam hati, kalau aku kata kuat-kuat nanti orang ingat aku sewel pulak. Ataupun kantoi aku tak puasa hari tu.
Aku tengok semula kat kotak tu, Ada satu tulisan besar-besar,"EXSTRAK SANTAN SEGAR".