Sunday, 16 September 2012

KISAH ROY DAN NASI LEMAK

Kurang-lebih pukul 6:30 tu Roy dah bangkit dari mati yang sementara tu, kalo boleh dia nak sembam aje barang sejam-dua lagi dihari yang dia tak kerja ni, tapi oleh kerana hari tu adalah penghulu sekalian hari, makanya Roy tak jadi nak sembam. Bukan atas dasar nak memuliakan hari, tapi Roy tahu setiap hari jumaat, emak Roy iaitu Makcik Isabella akan masak satu hidangan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh Roy iaitu tak lain dan tak bukan nasi lemak. Kalo boleh, Roy mahu setiap hari adalah hari jumaat, kalo tak boleh setiap hari- selang-seli pun takpe. Ritual Makcik Isabella tu dah diamalkan sejak Roy sekolah rendah lagi. Nak kata spesel sangat nasi lemak Makcik Isabella tu rasanya takdelah pulak, nasi lemak sambal bilis aje, timun pun ada masa wujud, tapi kebanyakkan masanya tak wujud. Tapi dalam dunia gastronomi Roy, itu diumpamakan seperti hidangan kelas pertama dari syurga, gara-gara air tangan emaknya.


Lepas-lepas aje mandi dan membojeng rambut ala Jefridin, Roy berseluar pendek tanpa baju, mengatur langkah ke dapur. Setiap langkah Roy ke dapur adalah langkah yang paling bersemangat sekali, langkah dalam perbarisan hari kemerdekaan pun takde bersemangat macam tu. Sesampai aje didapur yang sederhana besar tu, Roy rasakan auranya ada sedikit berbeza dengan aura hari-hari jumaat yang lepas. Kali ini didapur tiada bau lemak santan dan tiada wangi daun pandan. Roy separa cemas. Cemas campur lapar. Roy cari nasi lemak atas dapur, takde. Roy cuba cari bawah besen biru, atas almari, negatif. Roy try tengok dalam peti ais satu pintu kat dapur tu, itu pun juga negatif. Nak intai bawah tudung saji, tudung saji tergantung kaku di dinding. Termometer pengesan kecemasan Roy menunjukkan bacaan yang semakin meninggi. Roy cemas, cemas campur lapar.


Lepas cari nasi lemak tak jumpa, Roy cari pula emaknya. Kat dapur dah memang sah-sah tak ternampak kelibat Makcik Isabella, kat ruang tamu pun takde. "jangan-jangan mak aku dah kena culik, atau dia berjalan dalam tidur malam tadi", hati kecil Roy bersuara, suara yang hanya Roy boleh mendengarnya. Roy kuak pintu bilik mak kesayangannya itu, juga takde. Tak boleh jadi dengan keadaan tersebut, Roy berteriak memanggil emaknya, selepas dua-tiga kali berteriak ala Tarzan, akhirnya teriakan Roy disahut. Sayup-sayup bunyinya dibelakang dapur.


Roy berlari pantas kedapur, sampai didapur ditolaknya pintu maling dapur yang berkeriuk bunyinya, lalu Roy menjojolkan kepalanya, maka ternampaklah Makcik Isabella sedang menyapu daun-daun kering yang gugur semasa suasana pagi yang masih 'terang-terang tanah' gitu.
"Ada apa Roy?", tanya Makcik Isabella dengan penuh kasih -sayang.
"Mak! Kenapa mak tak masak nasi lemak kegemaran Roy hari ni? Mak kan tahu, setiap hari jumaat itu adalah makanan wajib Roy. Mak memang dah tak sayangkan Roy lagi", kata Roy yang konon-kononnya merajuk. Sepatutnya dalam usianya itu, sifat merajuknya tu dah kena eksport jauh-jauh, setidak-tidaknya ke negeri china.
"Nasi lemak kepala otak berjambul kau , hari ni kan start puasa", kata Makcik Isabella sambil buat mata bulat getel, marah le tu.

Roy termanggu, baru dia tersedar, hari tu adalah hari pertama puasa. Roy melangkah lemah ke bilik, disembam kepalanya ke bantal, sambung tido.

No comments:

Post a Comment