Saturday 22 September 2012

SPACE COP GABAN

Pekerja-pekerja bank bertempiaran lari, pekerja Pustaka Seri Intan bersembunyi didalam kedai, gril pintunya ditarik rapat ke bawah. Tokey kedai ubat sebelah menyuruh pekerjanya lari ikut pintu belakang, sambil menepuk dahi, tokey tu mengeluh,"haiya! Mau bisnes pun susah ini macam maa". Pekerja-pekerja kedai kain, lari menyorok bawah kain. Awok-awok Lembaga Hasil Dalam Negeri guling-bating lari dok tahu pah kemana. Si bisu yang jaga parking sebelah pejabat umno tu, buat macam biasa je, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tapi apa yang sebenarnya sedang melanda Bandaraya kuala Terengganu ni? Apa bala yang sedang berlaku ni?


Raksasa biawak air telah menyerang kuala Terengganu! Berita gempar ni! Dalam suratkabo Sinar, akan terpampang dimuka depan, sebelah gambo Mat Said. Raksasa ni hyper besarnya. Sebesar dua buah lori balak, berjalan dengan dua kaki sahaja. Tubuh bersisik, bermuka parut- mungkin kesan dari pertarungan silam. Dikhabarkan mula-mula muncul dari dalam laut bersebelahan dengan Zee Corner kat Pulau Kambing tu. Selepas baham lima-enam tong air shake-shake kat situ, raksasa tu beredar pula kekawasan bank di pusat bandaraya ni. Apa tujuannya? Masih samar-samar lagi. Setakat ni sudah empat puluh dua buah kereta diterbalikkan, semuanya MYVI, pandai pulak raksasa biawak air ni pilih-pilih target. Lampu isyarat pula baru tiga batang dilibaskan sampai patah dengan ekornya yang panjang tu, semuanya patah-riuk.


Kini dia membuat onar didepan Maybank pula-lidah bercabangnya dijelir-jelirkan kedalam bank. Didalam bank hanya tinggal seorang Pok guard yang tua bertemankan sebatang cotar. Dikatoknya lidah bercabang itu dengan cotarnya, tak memberi kesan kepada raksasa biawak air. Raksasa biawak air membalas, ditampornya dua kali Pok guard tu, bersepai gigi Pok guard. Bulan depan Pok guard dah kena buat gigi palsu, nak pakai kena guna Polident, barulah boleh makan steak tanpa segan-segan macam dalam tv tu. Mamat yang mintak sedekah depan mesin ATM tu masih lagi disitu, masih buat muka kesiannya, hari ni dia pakai hooded Butterfinger.


Dari kejauhan, ternampak satu kelibat yang kecil, tapi semakin dia mendekati, Semakin kelibat tu membesar. Itulah dia! Penyelamat kita sudah sampai. Space Cop Gaban datang dengan kereta perisai gaban berwarna merah darah ayam, memang garang dan bergaya sekali, lalu diparkingnya kereta perisai gaban tu didepan Maybank. Sisa-sisa manusia yang masih berada ditempat kejadian bertepuk tangan memberi semangat kapada wira mereka. Mungkin ini adalah satu-satunya penyelamat kepada bandaraya kuala terengganu.


Gaban bersedia untuk bergocoh dengan raksasa biawak air itu, diambilnya pedang Gaban, akan digunakan jurus potong lapan hari ini. Gaban menapak dengan berhati-hati kearah raksasa biawak air yang ketika itu rakus menjilat didalam CIMB pula, tiba-tiba Gaban terdengar namanya dipanggil dari belakang, Gaban menoleh,

"Encik, encik tak boleh parking kereta perisai encik ni kat sini", ujar seorang pekerja Majlis Bandaraya, bahagian saman menyaman kenderaan.

"tapi aku ada misi penting ni, untung nasib bandaraya ni di tangan aku sekarang", kata Gaban sambil mengengam tangan kanannya, menunjukkan konon penting peranannya itu.

"itu saya tahu encik, tapi saya hanya menjalankan tugas aje, kalo encik Gaban parking kat sini jugak, saya terpaksa saman kereta perisai encik ni", kata pekerja majlis bandaraya itu semula.

Gaban tak puashati, disimpannya pedang Gaban, dihidupkan enjin kereta perisai Gaban-nya, dipulas pendikitnya sehabis mungkin. Gaban merajuk, ditinggalkan satu pertarungan yang masih belum bermula itu. Gaban balik rumahnya, sampai dirumahnya, Gaban terus ratah Milo.

Dikawasan depan bank, raksasa biawak air terus rakus menjilat.

2 comments:

  1. raksasa biawak air ke biawak pasir sebenornya nih?

    ReplyDelete
  2. huhu, tu ah.. dia datang dalam rupa yang pelbagai kot..

    ReplyDelete